SUNGAI UJONG IALAH NAMA ASAL BAGI SEREMBAN YANG SEBELUM ITU PERNAH DIKENALI SEBAGAI "SENING UJONG"
Lokasi Luak Sungai Ujong di Negeri Sembilan
Balai Undang Luak Sungai Ujong terletak di Ampangan, merupakan kediaman rasmi Dato' Undang Luak Sungai Ujong.
Papan tanda sempadan Luak Sungei Ujong di sempadan Negeri Sembilan-Selangor, yang bersempadan dengan Beranang, Selangor.
Sungai Ujong atau Sungei Ujong ialah daerah adat (luak) yang meliputi dua daerah di Negeri Sembilan, iaitu daerah-daerah Seremban dan Port Dickson. Luak ini turut menaungi Luak Linggi yang terletak berhampiran dengan sempadan negeri Melaka. Luak ini diperintah oleh seorang Undang yang dilantik dari suku waris Dato' Kelana iaitu Waris di Darat. Seorang lagi pembesar luak ialah Dato' Shahbandar iaitu pemimpin bagi penduduk Waris di Air. Sungai Ujong ialah nama lama bagi Seremban. Sebelum itu ia pernah dikenali sebagai "Sening Ujong". Dalam kalangan penduduk Cina tempatan, mereka memanggil Seremban sebagai (Hanyu Pinyin: Fúróng; Perumian Kantonis Yale: Fùhyùhng; Jyutping: Fu4 jung4, har. "bunga raya") berdasarkan fonetik sepadan dalam bahasa Kantonis bagi "Ujong".
Sungai Ujong menjadi lokasi penting dalam sejarah. Parameswara pernah singgah di Sening Ujung (nama lama Sungai Ujong) dan melantik seorang menteri untuk mewakilinya disitu, sebelum baginda tiba di pinggir muara Sungai Bertam (nama lama Sungai Melaka) untuk mendirikan kerajaan di situ.
Sebelum 1760, Dato'-dato' Undang Luak Sungai Ujong menggunakan gelaran Dato' Penghulu Menteri, iaitu gelaran yang diwarisi sejak kedatangan Parameswara ke Sungai Ujong sebelum pengasasan Kesultanan Melayu Melaka.
Mengikut Sejarah Melayu, ketika Sultan Muzaffar Shah memerintah Melaka (1445-1458) Sungai Ujong adalah di bawah pegangan Bendahara Paduka Raja Tun Perak dan Seri Nara Diraja Tun Ali. Ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah (1456-1477), Dato Penghulu Menteri di Sungai Ujong dicatatkan bernama Tun Tuakal.
Bagaimanapun, Tun Tuakal dihukum bunuh oleh Sultan Mansur Shah dan sejak itu Sungei Ujong diperintah oleh Seri Nara Diraja Tun Ali dan keturunan beliau sehingga hari ini.
Riwayat Sungai Ujong dan catatan Belanda merekodkan pada sekitar 1640-an, Bendahara Kesultanan Johor Lama, Tun Jenal yang bergelar Bendahara Skudai (keturunan Seri Nara Diraja Tun Ali) menetap di Sungai Ujong dan berkahwin dengan ketua tempatan, iaitu seorang wanita dikenali Batin Sibu Jaya.
Perkahwinan itu melahirkan Dato Kelambu (Muhammad Tumbu) , To' Musang, Dato' Semerga dan To' Seri Mani. Dato Kelambu dan To' Musang mewarisi pemerintahan Sungei Ujong daripada Tun Jenal selaku Dato' Penghulu Menteri Sungai Ujong dan berkuasa di darat.
Manakala Dato' Semerga mewarisi pegangan Tun Jenal yang meliputi laluan air (sungai) dan kawasan pantai di Luak Sungei Ujong. Keturunan Dato' Semerga kemudian diiktiraf oleh Sultan Johor sebagai Dato' Shahbandar Sungai Ujong sejak 1715.
Keturunan Dato Kelambu (Muhammad Tumbu) dan To' Musang dikenali sebagai Waris Klana dan kekal memerintah luak Sungai Ujong sebagai Dato Penghulu Menteri sehingga 1760, apabila Dato Bador mula menggunakan gelaran Dato' Klana Petra selepas memperoleh cop mohor kebesaran dan perakuan kedaulatan sebagai pemerintah Sungai Ujong daripada Sultan Johor.
Oleh kerana kawasan ini kaya dengan bijih timah, kawasan ini menjadi rebutan hangat antara pemimpin tempatan dan juga Inggeris.
< Kembali