NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS IALAH SEBUAH NEGERI DI MALAYSIA YANG TERLETAK DI PANTAI BARAT SEMENANJUNG MALAYSIA DAN BERSEMPADANKAN SELANGOR DI SEBELAH UTARA, PAHANG DI SEBELAH TIMUR, JOHOR DI SEBELAH TENGGARA DAN MELAKA DI SEBELAH SELATAN.
Gunung Besar Hantu
Gunung Tampin
Gunung Datuk
Negeri Sembilan (sebutan dalam loghat tempatan: Nogori Sombilan, Nismilan) juga dikenali sebagai Negeri Sembilan Darul Khusus ialah sebuah negeri di Malaysia yang terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia dan bersempadankan Selangor di sebelah utara, Pahang di sebelah timur, Johor di sebelah tenggara dan Melaka di sebelah selatan.
Negeri Sembilan merupakan sebuah negeri beriklim khatulistiwa. Kawasan tanah tingginya merupakan sebahagian daripada sistem pergunungan Banjaran Titiwangsa, dengan Gunung Besar Hantu sebagai titik tertinggi. Jajaran utama banjaran itu juga berakhir di negeri ini, lebih tepatnya di Gunung Tampin yang terletak di bahagian selatan negeri.
Ibu negerinya ialah Seremban, yang juga merupakan bandar terbesar di negeri ini. Bandar dirajanya ialah Seri Menanti yang terletak di daerah Kuala Pilah. Bandar-bandar utama yang lain termasuklah Port Dickson, Kuala Pilah, Nilai dan Bahau.
Sektor-sektor pertanian, pengilangan dan perkhidmatan merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi Negeri Sembilan. Daerah Seremban dan Daerah Port Dickson merupakan hub ekonomi utama negeri ini, dengan kedua-duanya membentuk koridor Lembah Wawasan Malaysia.
Nama Negeri Sembilan dipercayai muncul setelah masyarakat Minangkabau dari Sumatera Barat yang bermukim di sembilan luak atau nagari membentuk sebuah konfederasi. Selanjutnya sebagai penyatuan masyarakat maka diangkatlah seorang raja yang pada awalnya mereka minta dari keturunan Yang Dipertuan Pagarruyung.
Berbeza dengan sistem beraja di negeri-negeri Melayu yang lain, Negeri Sembilan mengamalkan sistem beraja elektif dan prinsip koregensi (pemerintahan bersama). Pemerintahnya dikenali sebagai Yang di-Pertuan Besar atau juga dikenali sebagai Yamtuan Besar dan memerintah bersama Dato'-Dato' Undang serta Tunku Besar Tampin iaitu pemerintah luak berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan. Baginda dipilih dan dilantik melalui persepakatan Dato'- Dato' Undang yang mentadbir empat luak terbesar iaitu Sungai Ujong, Jelebu, Johol, dan Rembau, daripada kerabat-kerabat lelaki yang sah daripada Wangsa Pagaruyung, dengan putera-putera Yamtuan terdahulu yang masih hidup didahulukan dalam pertimbangan tetapi tidak wajib untuk diundi, menjadikannya salah satu daripada sistem beraja yang lebih demokratik. Negeri Sembilan juga mengamalkan sistem raja berperlembagaan sepertimana negeri-negeri Melayu beraja lain.
GEOGRAFI
Negeri Sembilan terletak di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia, bersempadan dengan Selangor di bahagian utara, Pahang di bahagian timur dan Melaka serta Johor di bahagian selatan. Bandaraya Seremban, iaitu ibu negeri Negeri Sembilan, terletak kira-kira 60 kilometer dari Kuala Lumpur dan kira-kira 40 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor.
Negeri Sembilan, bersama-sama dengan tujuh daerahnya (Seremban, Port Dickson, Jelebu, Rembau, Tampin, Kuala Pilah, dan Jempol) meliputi keluasan 6,645 km persegi atau 664,591 hektar. Negeri ini terdiri daripada lembah-lembah rata yang diapit kawasan pergunungan dan berbukit disebabkan oleh kerana lokasinya terletak di unjuran penghujung selatan Banjaran Titiwangsa, dengan Gunung Besar Hantu (1,462 m) sebagai puncak tertinggi. Dengan keseluruhan jajaran utama banjaran ini berakhir di Tampin, ia bertindak sebagai sempadan semula jadi antara Negeri Sembilan barat (Port Dickson, Seremban dan Rembau) dan Negeri Sembilan timur (Kuala Pilah, Jempol, Tampin, dan Jelebu), selain menjadi legeh bagi empat lembangan sungai, iaitu lembangan Sungai Langat dan Sungai Linggi di sebelah barat; dan Sungai Muar dan Sungai Pahang di sebelah timur. Sungai Linggi dan Sungai Muar merupakan dua sungai utama yang menjadi sumber air utama penduduk Negeri Sembilan. Berhampiran dengan Gunung Besar Hantu ialah Gunung Nuang yang berketinggian 1,494 meter, menandakan titik paling utara negeri ini, berdekatan dengan titik pertemuan antara Selangor dan Pahang.
Seperti negeri pantai barat yang lain, Negeri Sembilan juga mempunyai persisiran pantai sepanjang 65 kilometer yang menghadap Selat Melaka kilometer. Hanya satu daerah di negeri ini yang bertemu dengan laut iaitu Port Dickson. Terdapat 13 pulau kecil tidak berpenghuni yang berada di persisiran pantai negeri ini.
ESTIMOLOGI SEJARAH
Nama Negeri Sembilan dipercayai diperoleh daripada sembilan kawasan petempatan atau "nogori" didiami oleh orang Minangkabau (juga dikenali sebagai luak). Sembilan luak tersebut ialah Segamat (sebahagian kawasan kini di daerah-daerah Tampin dan Jempol, Negeri Sembilan dan daerah-daerah Segamat dan Tangkak di Johor), Naning (kini menjadi sebahagian dari daerah-daerah Alor Gajah dan Jasin, Melaka), Rembau, Sungai Ujong (kini merangkumi daerah-daerah Seremban dan Port Dickson, Negeri Sembilan; sebahagian kecil kini merangkumi Hulu Langat, Selangor), Johol (terdiri daripada daerah-daerah Tampin, Kuala Pilah dan Jempol, Negeri Sembilan), Jelebu, Ulu Pahang (sebahagian kawasan daerah-daerah Jelebu dan Jempol, Negeri Sembilan dan daerah Bera, Pahang), Jelai (kini merangkumi hampir keseluruhan daerah Kuala Pilah dan daerah Jempol, Negeri Sembilan) dan Kelang (kini merangkumi daerah Port Dickson, Negeri Sembilan dan daerah-daerah Sepang dan Kuala Langat, Selangor). Saiz Negeri Sembilan kini lebih kecil berbanding saiz asal Negeri Sembilan.
Sebelum kedatangan orang Minangkabau, daerah-daerah Negeri Sembilan telah mempunyai penduduk asli dari kumpulan Negrito dan Melayu Proto yang terdiri daripada suku-suku Semelai, Semai, Jakun dan Semang. Menurut cerita tempatan, penduduk awal Negeri Sembilan ialah orang asli atau juga disebut ‘orang darat’. Kegiatan seharian mereka ialah berburu, memungut hasil hutan dan bercucuk tanam khususnya padi bukit. Mereka tinggal secara berkelompok kecil dan diketuai oleh seorang ketua bergelar ‘Batin’. Mereka mengamalkan kepercayaan animisme.
PENDUDUK AWAL NEGERI SEMBILAN
Petempatan manusia terawal di Negeri Sembilan diyakini terletak di Gua Pelangi, sebuah gua batu kapur terletak berhampiran Simpang Pertang di daerah Jelebu, di mana terdapat beberapa artifak berupa alat batu dan sisa makanan yang dianggarkan berusia lebih 14,000 tahun berdasarkan pentarikhan radiokarbon ditemui dalam kerja ekskavasi di kawasan tersebut yang dijalankan oleh Universiti Sains Malaysia.
Menurut R.J. Wilkinson, tempoh antara tahun 1450 hingga 1600 Masihi dikenali sebagai Zaman Sakai. Ketika itu terdapat empat negeri Sakai iaitu Klang, Sungai Ujong, Jelebu dan Johol yang berada di bawah naungan Kesultanan Melayu Melaka dan kemudiannya Kesultanan Johor-Riau. Menurut Sejarah Melayu, daerah Kelang mempunyai seorang penghulu bernama Tun Perak. Manakala Sungai Ujong diketuai oleh Tun Tukal.
Sekitar abad ke-16 Masihi, orang Minangkabau telah datang dan mendiami di kawasan pesisir pantai di selatan Negeri Sembilan (Sungai Linggi). Mereka membawa sekali amalan dan adat mereka iaitu Adat Perpatih. Sejak itu mereka memperkenalkan sistem sosial, politik, ekonomi dan agama kepada masyarakat orang asal. Mereka membawa sistem adat yang berteraskan kepada jurai sebelah ibu, atau ‘matrilineal’. Dalam tempoh di antara abad ke-17, 18 dan 19 Masihi, mereka bergerak atau merantau lebih dalam lagi ke kawasan pedalaman Negeri Sembilan.
Kedatangan perantau Minangkabau telah menyebabkan berlakunya perkahwinan campur antara masyarakat Minangkabau dengan orang asli. Daripada percampuran ini telah mewujudkan suku Biduanda. Pembesar tempatan yang menjadi Undang dan Penghulu-ketua bagi luak-luak yang lebih kecil akan dipilih daripada suku Biduanda. Masyarakat Minangkabau yang datang kemudian adalah dari suku kampung-kampung asal mereka di Minangkabau seperti Tanah Datar dan Payakumbuh.
PEMBENTUKAN AWAL NEGERI SEMBILAN
Zaman pembentukan Negeri Sembilan dipercayai berlaku di antara tahun 1640 hingga 1760. Bermula tahun 1639, kerajaan Johor menjalinkan kerjasama erat dengan Belanda. Ketika itu Johor diperintah oleh Sultan Abdul Jalil Shah III. Kerjasama Johor-Belanda adalah bertujuan untuk menjatuhkan kekuasaan Portugis di Melaka. Kerajaan Johor mula menjalinkan hubungan baik dengan orang Minangkabau di pedalaman Melaka dan mula memasukkan Negeri Sembilan di bawah naungan mereka.
Pada tahun 1705, pembesar Minangkabau di Naning iaitu Penghulu Naning menerima pengiktirafan dan gelaran dari Sultan Johor yang turut dipersetujui oleh pihak Belanda. Pada tahun yang sama, Rembau juga mendapat pengiktirafan melalui pengurniaan cap mohor dan gelaran ‘Bendahara Seri Maharaja’. Beberapa tahun selepas itu, Dato’ Bandar Sungai Ujong juga menerima pengiktirafan yang sama dari Johor. Pada tahun 1760, Penghulu Jelebu, Dato’ Moyang Salleh menerima cap mohor dan gelaran Sultan Jelebu daripada Sultan Riau, Sultan Abdul Jalil Muadzam Syah. Begitu juga Inas yang turut menerima pengiktirafan yang sama. Orang Melayu juga dipercayai terus mengukuhkan kedudukan mereka di Inas, Johol, Gemencheh, Terachi, Gunung Pasir, Jempol dan Ulu Muar. Kekacauan politik yang dihadapi oleh kerajaan Johor di antara tahun 1700 hingga 1760 Masihi telah menyebabkan Johor menganugerahkan cap mohor dan gelaran bagi mendapatkan sokongan daripada orang Minangkabau. Bagaimanapun, kelemahan kerajaan Johor telah menyebabkan berlakunya peningkatan populasi penghijrah Minangkabau di Negeri Sembilan.
Ekoran kemerosotan kuasa Johor pada kurun ke-18 dan ancaman daripada Bugis telah memaksa masyarakat Minangkabau di Negeri Sembilan mencari perlindungan daripada tanah air mereka. Maka Yamtuan Pagar Ruyung, Sultan Abdul Jalil berkenan mengirim puteranya, Raja Mahmud ke sana untuk memimpin masyarakat. Apabila baginda tiba, baginda mendapati seorang lagi kerabat, Raja Khatib telah terlebih dahulu mengisytiharkan diri sebagai pemerintah. Raja Mahmud kemudiannya mengisytiharkan perang terhadap Raja Khatib dan kemudiannya menjadi pemerintah bagi Negeri Sembilan, memakai gelaran Raja Melewar. Sultan Johor mengesahkan kedudukan Raja Melewar sebagai pemerintah dengan memberikan gelaran Yamtuan Seri Menanti pada 1773.
Negeri Sembilan semasa pemerintahan Raja Melewar, meliputi kawasan yang lebih besar daripada sempadan Negeri Sembilan moden sekarang. Sembilan luak asal pada 1773 yang telah membentuk nama Negeri Sembilan ialah Sungai Ujong, Jelebu, Rembau, Johol, Jelai, Ulu Pahang, Naning, Segamat dan Klang. Kemudiannya, empat luak telah dimasukkan ke negeri-negeri jiran pada kurun ke-19. Naning telah diserap ke dalam pentadbiran Melaka, Negeri-negeri Selat pada 1832 berikutan kekalahan Dol Said dalam Perang Naning; Ulu Pahang telah bertukar menjadi daerah Bera di Pahang; Segamat menjadi sebahagian daripada Johor dan Klang menjadi daerah Kuala Langat dan Sepang di Selangor.
Setelah kemangkatan Raja Melewar, berlakunya siri pertelingkahan dalam proses mendapatkan pengganti. Untuk tempoh yang lama, pembesar tempatan menjemput pemerintah Minangkabau di Sumatera sebagai Yamtuan Besar. Walau bagaimanapun, persaingan kepentingan dalam menyokong calon berbeza kadangkala menyebabkan ketidakstabilan dan perang dingin. Yamtuan Besar hanya berkuasa di kawasan Seri Menanti dan luak-luak yang di sekitarnya sahaja, manakala luak-luak yang besar dipimpin oleh Undang yang membentuk kerajaan sendiri.
PERMULAAN ZAMAN PENJAJAHAN
Pada 1874, British mula mencampur tangan dalam pertikaian kepimpinan di Sungai Ujong bagi menjaga kepentingan ekonomi British, dan meletakkan kepimpinan di bawah kawalan Residen British. Selepas Sungai Ujong, ia diikuti oleh Jelebu pada 1883 dan Rembau pada 1887. Kehadiran British telah mewujudkan penentangan dalam kalangan penduduk tempatan dan mencetuskan beberapa siri peperangan.
Pada 1875, British diiringi tentera upahan Arab dan Gurkha telah menyerang pasukan Melayu di Paroi. 37 maut dan cedera di pihak British manakala lebih 35 maut di pihak pasukan Melayu. Kubu pasukan Melayu juga berjaya ditawan British. Selepas pertempuran Paroi, British telah menunggu bantuan tentera Gurkha yang tiba pada 10 Disember 1875. Orang Melayu telah mengukuhkan kedudukan mereka di Bukit Putus. Pertempuran mula tercetus di Bukit Putus setelah serangan British terhadap orang Melayu. Pasukan British dibantu Gurkha akhirnya menawan kubu orang Melayu. Penduduk di lembah Terachi juga telah melarikan diri, manakala kampung mereka dibakar. Istana Yamtuan Antah di Seri Menanti juga telah dimusnahkan.
Pembentukan Negeri Sembilan moden bermula pada 1889, apabila kepimpinan Seri Menanti di bawah Tuanku Muhammad ibni Tuanku Antah bergabung dengan kepimpinan dari Tampin dan Rembau bagi membentuk Konfederasi Seri Menanti sebagai sebuah entiti tunggal. Pemimpin dari Sungai Ujong dan Jelebu turut menyertai persekutuan ini pada 1895, akhirnya membentuk Negeri Sembilan dengan sempadan yang baharu sebagaimana sekarang. Martin Lister dilantik menjadi Residen British pertama dan Negeri Sembilan menyertai pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun yang sama.
Negeri Sembilan mengalami pendudukan Jepun dalam Perang Dunia II antara tahun 1942 dan 1945, bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, dan menjadi sebuah negeri Malaysia pada tahun 1963.
PEMERINTAHAN DAN POLITIK
Perlembagaan atau Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan telah berkuat kuasa pada 26 Mac 1959. Ia dibahagikan kepada dua bahagian. Perlembagaan ini menyatakan bahawa bentuk pemerintahan negeri ini ialah Raja Berperlembagaan dan satu-satunya raja yang dilantik melalui pemilihan. Sistem ini sebahagiannya menjadi asas bagi sistem beraja di peringkat persekutuan Malaysia.
Perlembagaan negeri menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Sungei Ujong, Undang Jelebu, Undang Johol, Undang Rembau dan Tunku Besar Tampin diberi kuasa eksekutif negeri, menjadi ketua kepada agama Islam dan sumber kepada segala kehormatan dan kedaulatan negeri. Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang terkini ialah Tuanku Muhriz.
Tidak seperti pemerintah diraja negeri-negeri di Malaysia, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dipilih oleh ketua luak yang digelar Undang. Hanya empat Undang yang mempunyai hak untuk memilih pengganti Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, iaitu Undang bagi luak Sungei Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau.
Undang tidak boleh menjadi calon bagi pemilihan ini, dan mereka perlu memilih pemerintah bercirikan seorang lelaki, beragama Islam dan merupakan pewaris keturunan Raja Radin ibni Raja Lenggang. Gelaran rasmi bagi pemerintah-pemerintah negeri ialah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Yang Teramat Mulia Undang Sungei Ujong, Yang Teramat Mulia Undang Jelebu, Yang Teramat Mulia Undang Johol, Yang Teramat Mulia Undang Rembau dan Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin dan mereka memegang jawatan tersebut sepanjang hidup, kecuali sebab-sebab tertentu seperti pemecatan dan peletakan jawatan.
Perlembagaan Negeri telah membolehkan terbentuknya badan eksekutif atau majlis mesyuarat kerajaan negeri. Fungsinya sama sebagaimana kabinet Persekutuan. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan terdiri daripada Menteri Besar sebagai pengerusi dan sembilan orang anggota yang lain. Menteri Besar dan anggota yang lain dilantik oleh Yang di-Pertuan Besar daripada kalangan anggota Dewan Undangan Negeri yang terdiri daripada ahli parti yang memegang majoriti.
Dewan Undangan Negeri Sembilan merupakan badan perundangan negeri ini. Dewan ini mempunyai anggota seramai 36 orang yang digelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), bersidang di Bangunan Dewan Undangan Negeri yang berada di Seremban. Ahli Dewan ini dipilih dari 36 kawasan melalui pilihan raya negeri yang diadakan setiap lima tahun dan kebiasaannya serentak dengan pilihan raya umum.
Di Negeri Sembilan, terdapat tujuh buah pihak berkuasa tempatan (atau kerajaan tempatan). Sebuah pihak berkuasa tempatan telah mencapai taraf bandar raya, iaitu Majlis Bandaraya Seremban. Dua buah pihak berkuasa tempatan bertaraf perbandaran iaitu Majlis Perbandaran Port Dickson dan Majlis Perbandaran Jempol, manakala empat lagi bertaraf majlis daerah iaitu Majlis Daerah Kuala Pilah, Majlis Daerah Jelebu, Majlis Daerah Tampin dan Majlis Daerah Rembau.
Setiap pihak berkuasa tempatan diketuai oleh seorang Datuk Bandar bagi Bandaraya, atau Yang Dipertua bagi yang bukan bertaraf bandar raya. Ketua-ketua ini dilantik untuk tempoh dua tahun, manakala ahli majlis pula dilantik untuk setahun tempoh perkhidmatan. Tiada pilihan raya bagi kerajaan tempatan di Negeri Sembilan sejak kali terakhir diadakan pada 1965.
Pentadbiran adat pula dibahagikan kepada empat kategori luak, iaitu Luak Berundang, Luak Tampin, Luak Tanah Mengandung dan Luak Beradat. Luak Berundang ialah luak yang diketuai oleh Undang Yang Empat, iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Johol, Undang Luak Rembau dan Undang Luak Jelebu.
Wilayah Adat Tampin atau Luak Tampin diketuai oleh Tunku Besar Tampin.
Luak Tanah Mengandung ialah luak yang melingkungi wilayah diraja Seri Menanti dan diketuai oleh Penghulu Luak yang bernaung di bawah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, iaitu Gunung Pasir, Ineh, Jempol, Terachi dan Ulu Muar.
Luak Beradat pula ialah luak-luak kecil yang mempunyai ketua masing-masing iaitu Gemencheh, Air Kuning dan Linggi. Luak Gemencheh yang diketuai Dato’ Penghulu Pesaka Gemencheh dan Luak Air Kuning yang diketuai Dato’ Penghulu Pesaka Air Kuning bernaung di bawah Undang Luak Johol, manakala Linggi yang diketuai oleh Dato' Muda Linggi, bernaung di bawah Undang Luak Sungai Ujong.
DEMOGRAFI
Anggaran jumlah penduduk di Negeri Sembilan pada tahun 2020 adalah sebanyak 1,199,974 juta orang dengan kepadatan penduduk 180 orang perkilometer persegi. 94.4 peratus dari jumlah penduduk merupakan warganegara Malaysia.
Dari segi komposisi kaum, masyarakat berbangsa Melayu merupakan kelompok terbesar di negeri ini iaitu seramai 693,271 orang (57.8%). Sebahagian besar masyarakat berbangsa Melayu di Negeri Sembilan Masyarakat Cina merupakan kelompok kedua terbesar, seramai 248,456 orang (20.7%) diikuti orang India seramai 161,633 orang (13.5%). Negeri Sembilan merupakan antara negeri yang merekodkan peratusan masyarakat India tertinggi di Malaysia. Selebihnya 2.4 peratus merupakan kaum lain seperti orang Asli dan Bumiputera selain Melayu.
Daerah Seremban merupakan daerah paling ramai penduduk di Negeri Sembilan, dengan 57.7 peratus daripada jumlah penduduk tinggal di daerah ini. Hampir 70 peratus penduduk tinggal di bandar.
Mengikut bancian tahun 2020, majoriti penduduk negeri Negeri Sembilan beragama Islam iaitu sebanyak 63 peratus dari jumlah penduduk. Sebahagian besar antara mereka merupakan masyarakat Melayu yang kesemuanya beragama Islam mengikut Perlembagaan. Agama kedua terbesar di negeri ini ialah agama Buddha, dengan peratusan lebih 19 peratus. Penganut agama Buddha di negeri ini majoritinya merupakan masyarakat berbangsa Cina. Penganut agama Hindu pula membentuk 13 peratus daripada jumlah populasi negeri, majoritinya merupakan masyarakat India. Terdapat juga beberapa agama minoriti lain yang dianuti seperti Kristian, Sikh, Taoisme, Konfusianisme dan agama tradisional.
Negeri Sembilan mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan bangsa, di mana setiap kaum menggunakan bahasa dan dialek masing-masing. Bahasa Melayu digunakan secara meluas dalam kalangan penduduk di negeri ini. Namun, penduduk Melayu, tetapi mempunyai loghatnya yang tersendiri iaitu bahasa Melayu Negeri Sembilan. Masyarakat Orang Asli seperti etnik Temuan juga mempunyai bahasa tersendiri yang dituturkan dalam kalangan mereka.
Penduduk berbangsa Cina di negeri ini juga bertutur dalam bahasa Cina dan beberapa variasi dialek Cina, misalnya Kantonis dan Hakka. Bahasa Tamil merupakan bahasa utama dalam kalangan penduduk berbangsa India, dan terdapat juga bahasa minoriti lain seperti Telugu, Malayalam dan Punjabi.
EKONOMI
Sektor pembuatan menyumbang hampir separuh daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Negeri Sembilan, diikuti sektor perkhidmatan dan pelancongan (40.3%), pertanian (6%), pembinaan (2.2%) dan perlombongan (0.3%). Aktiviti pembuatan termasuk elektrik dan elektronik, tekstil, perabot, bahan kimia, jentera, kerja-kerja logam dan produk getah. Kawasan perindustrian utama ialah Bandar Enstek, Nilai, Bandar Sri Sendayan, Senawang dan Sungai Gadut di Seremban, Tanah Merah di Port Dickson dan Chembong di Rembau. Beberapa syarikat ternama juga mempunyai kilang-kilang di Negeri Sembilan, seperti Kellogg's, Dutch Lady, Ajinomoto dan Coca-Cola di Bandar Enstek; Hino di Bandar Sri Sendayan; Yakult di Seremban 2; Samsung, Onsemi dan NXP Semiconductors di Senawang dan Nestlé di Chembong. Kilang Nestlé Chembong juga merupakan pengeluar Milo yang terbesar di dunia, dan juga pusat kecemerlangan global terbesar syarikat tersebut.
Negeri Sembilan secara umumnya merupakan sebuah negeri berasaskan pertanian. Walau bagaimanapun, penubuhan beberapa kawasan industri meningkatkan sektor perkilangan sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negeri. Tambahan lagi, daerah Seremban dan Port Dickson merupakan sebahagian daripada Lembah Wawasan Malaysia (MVV), sebuah koridor pertumbuhan baharu yang dipelopori melalui kerjasama antara Sime Darby dengan kerajaan persekutuan dan negeri pada tahun 2015. Berkeluasan sekitar 1530 km², MVV adalah sebahagian daripada Agenda Pembangunan Nasional, Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dan Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045 yang bertujuan untuk melengkapkan pembangunan yang sedia ada di kawasan Lembah Klang, memberi ruang kepada perluasan kawasan Kuala Lumpur Raya di sebelah selatan dan untuk mengubah Negeri Sembilan menjadi sebuah negeri maju pada tahun 2045. Setakat tahun ini, MVV kini dikenali sebagai MVV2.0. dan masih dalam proses pembangunan. Sementara itu, daerah-daerah di timur MVV, iaitu daerah-daerah Rembau, Kuala Pilah, Tampin dan Jempol bakal dibangunkan sebagai sebuah agropolis untuk meningkatkan pengeluaran bekalan makanan pada peringkat negeri dan juga nasional.
Aktiviti pertanian di negeri ini termasuklah getah dan kelapa sawit, perladangan, penternakan, buah-buahan dan sayur-sayuran. Kawasan berkeluasan 3,099 kilometer persegi digunakan untuk aktiviti getah dan kelapa sawit.
KEBUDAYAAN
Negeri Sembilan mempunyai adat, kebudayaan, sejarah, tradisi dan sistem politik yang unik. Seni kebudayaannya kebanyakannya dipengaruhi dengan unsur Melayu dan Adat Perpatih telah wujud di negeri ini sejak abad ke-14. Adat perpatih ini sangat jelas diamalkan dalam pembahagian harta pusaka, gelaran dan juga suku yang memihak kepada kaum wanita. Menurut sejarah, rombongan awal yang datang terdiri daripada kaum lelaki, tetapi susur galur keturunan seseorang itu ialah "mengikut perut" iaitu tertakluk kepada suku ibunya. Melalui persemendaan ini jugalah masyarakat Negeri Sembilan terpecah kepada 12 kumpulan yang dikenali dengan nama "suku".
ADAT PERPATIH
Keunikan Adat Perpatih ialah berdasarkan kepada sumber adat tersebut dan sistem nasab ibu yang diamalkan oleh masyarakatnya. Sistem ini tidak terdapat di negeri-negeri lain di Malaysia. Disebabkan itu, ia merupakan peraturan atau undang-undang dalam masyarakat Melayu di Negeri Sembilan dan kata-kata yang diungkapkan dalam adat perpatih iaitu "perpatah-pertitih" mempunyai nilai-nilai kesenian yang tinggi. Para sarjana pernah mencatatkan hasil sastera lama Melayu ialah pancaran masyarakat Melayu pada zaman tersebut. Oleh itu, perpatah-petitih ini dapat menyingkap tentang pandangan hidup masyarakat Melayu secara umum dan etos Melayu khususnya. Adat Perpatih yang diwarisi masih dipertahankan oleh masyarakat Negeri Sembilan kerana adat itu boleh menerima perubahan semasa ke semasa. Ini boleh dilihat daripada segi politik di mana sistem Yamtuan Besar dan Dato'-dato Undang masih meneruskan kelangsungan tanpa digugat termasuklah institusi Dato' Lembaga dan buapak-buapak. Daripada aspek sosial, ia masih bercirikan hidup kekeluargaan seperti budaya bekerjasama, bermuafakat, saling hormat-menghormati dan semangat kejiranan. Selain itu, upacara nikah kahwin, kenduri dan sebagainya masih mempunyai ciri-ciri tradisi yang unik. Adat ini diamalkan oleh sebahagian negeri iaitu Kuala Pilah termasuk Luak Tanah Mengandung dan Rembau.
Masyarakat Melayu Negeri Sembilan dikelaskan mengikut nenek moyang mereka. Pengkelasan ini dikenali sebagai suku. Suku dalam pengertian adat ialah anggota masyarakat yang terbentuk daripada kelompok keturunan yang daripada sebelah ibunya. Dalam konteks masyarakat Adat Perpatih, terdapat 12 suku di Negeri Sembilan iaitu Biduanda (Dondo), Batu Hampar (Tompa), Mungkal (Mungka), Sri Lemak (Solomak), Payakumbuh (Pokumboh), Tiga Nenek (Tigo Nenek, Tigo Niniak), Sri Melenggang (Somolenggang), Batu Belang (Batu Bolang), Tanah Datar, Anak Acheh, Anak Melaka (Anak Melako) dan Tiga Batu (Tigo Batu).
Setiap suku tersebut diketuai seorang ketua yang dikenali sebagai Lembaga. Setiap suku turut dipecahkan kepada beberapa Perut, yang diketuai seorang Buapak atau Ibu Soko. Kedua-dua Buapak dan Ibu Soko memainkan peranan dalam menjadi rujukan berkenaan adat dan hal agama dalam kalangan ahli Perut yang dikenali sebagai Anak Buah. Perkahwinan sesama suku turut dilarang di negeri ini, di mana satu suku dianggap sebagai sebuah keluarga yang sama.
< Kembali